Allah Subhanahu WA TA'ala berfirman yang artinya
berbunyi:
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya
dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap teguh di atas
jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid-nya itu), maka tidak ada
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula
tidak akan berdukacita.”
(QS. Al-Ahqaf :13)
Ayat ini menerangkan keadaan golongan orang-orang yang
benar-benar beriman kepada Allah Ta'ala, yaitu orang-orang yang mengakui dan
mengatakan:
“Tuhan kami adalah Allah”
Kemudian mereka istiqomah.
Di dalam kitab Ahkam Al-Qur'an, Ibnu Al-Arabi menyatakan
bahawa istiqomah adalah sentiasa dan berterusan berdiri di atas prinsip kalimah
- “La ilaha illallah” - sehinggalah mati masih di atas kalimah itu, tidak
sekali-kali berubah dan bertukar serta tetap teguh dalam melaksanakan segala
kewajipan yang difardhukan”
(Ahkam Al-Qur'an, Ibnu Al Arabi, Juzu':7, M/S:69).
Pengakuan dan pendirian mereka tidak dicampuri
sedikitpun dengan perbuatan-perbuatan syirik. Mereka menetapi dan mengikuti garis-garis yang telah
ditentukan Agama, mengikuti perintah-perintah Allah dengan sebenar-benarnya dan
menghentikan larangan-larangan-Nya. Maka golongan ini tidak ada suatu ketakutan-pun terhadap
nasib mereka di hari Kiamat nanti kerana Allah menjamin keselamatan mereka.
Mereka tidak ada rasa bersedih hati terhadap apa yang
mereka tinggalkan di dunia setelah mereka mati kelak, begitu juga terhadap
sesuatu yang luput dan hilang selama hidup di dunia itu serta tidak ada
penyesalan sedikit-pun pada diri mereka.
Apa Arti Pengakuan “Tuhan Kami ialah
Allah”..??
Dr. Hamka telah menafsirkan bahawa orang-orang yang
telah mengatakan:
“Tuhan kami ialah Allah” ialah bererti yang berkata itu
adalah mulutnya, hatinya, seluruh gerak gerinya juga ‘sepak terajangnya’.
Walau-pun mungkin lidahnya tidak terbuka namun sikap
hidupnya telah menyatakan kalimah tersebut.
“Tuhan kami ialah Allah” terbukti dalam ibadahnya,
tujuan hidupnya, pandangan hidupnya, tempat dia menaruh harapan, tempat dia
merasa takut dan dalam ia menjelaskan tujuan hidupnya.
“Tuhan kami ialah Allah” bererti tidak ada tempat tunduk
yang lain dan tidak ada rasa takut menghadapi yang lain.
Dengan pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”, maka segala
kegiatan segala aktiviti, segala jalan fikiran, segala pertimbangan tertuju
kepada Allah dan memandangnya dari segi keredhaan Allah. “Tuhan kami ialah Allah”, maka yang berlaku ialah
hukum-Nya Yang Maha Kuasa Sejati.
“Tuhan kami ialah Allah” bermakna tidak ada
undang-undang yang tahan uji melainkan undang-undang syariat-Nya dan tidak ada
pimpinan melainkan pimpinan-Nya, tidak ada petunjuk melainkan petunjuk-Nya.
“Tuhan kami ialah Allah”! Maka segala yang ada dan
segala apa jua pun yang berhubung dan bersangkut paut dengan yang ada, semuanya
bergantung kepada-Nya.
“Tuhan kami ialah Allah”!, Terbukti dapat dilihat, dapat
dirasakan dalam segala gerak walau-pun mulut tidak berkata-kata, walau-pun kaki
dan tangan terbelenggu.
(Tafsir Al-Azhar, Hamka, Juzu':26, M/S:20-21)
Kemudian mereka teguh pada pendiriannya tidak beranjak,
tidak ragu-ragu dan tidak berpaling lagi.
Itu-lah istiqomah!
ISTIQOMAH
“Apakah istiqomah itu.?”
Para Ulama Al-Amilin dalam mendefinasikan istiqamah ini
ada berbagai-bagai pengertian namun ia tetap menjurus kepada petunjuk yang
satu.
Di dalam kitab Madarij As-Salikin, Ibnu Al Jauzi telah
menukilkan pendapat-pendapat mereka sebagaimana berikut:
Sayyidina Abu Bakar radiyallahu 'anhu, ketika ditanya
tentang istiqomah beliau mengatakan:
“Jangan-lah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu
apa pun”.
Sayyidina Umar bin Khattab berkata:
“Istiqomah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan
larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang”.
Sayyidina Uthman radiyallahu 'anhu pula mengatakan
Istiqomah ialah:
“Ikhlas beramal kerana Allah semata-mata".
Sayyidina Ali radiyallahu 'anhhu dan Ibnu Abbas
radiyallahu 'anhu berkata Istiqomah ialah:
“Berterusan dalam menunaikan kewajipan yang
difardhukan”.
Hasan Al-Basri berkata istiqomah ialah:
“Berpegang teguh-lah kepada perintah Allah, lakukan
dengan ketaatan kepada-Nya dan jauhi-lah maksiat dan ke durhakaan kepada-Nya”.
Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa istiqomah itu ialah:
“MenCintai Allah dan mengabdi kepada-Nya tanpa berpaling
kiri dan kanan.”
(Madarij As-Salikin, Ibnu Jauzi, Juzu':2 M/S:104)
Memburu Kejayaan dan Kebahagiaan Abadi
Dengan Istiqomah”.
Istiqomah adalah antara sifat unggul Islam yang akan
menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.
Walau amat sukar dalam hidup ini untuk istiqamah atas
kebenaran, berdiri teguh sepanjang masa, berada di atas kebenaran dan petunjuk,
tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan namun ia adalah asas untuk hidup berAgama
dan jalan keselamatan kerana ia (istiqomah) merupakan sebesar-besar Karomah
(kemuliaan) di dunia dalam menuju Karomah yang Abadi yaitu Syurga.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Surah Hud menyebabkan rambut-ku beruban”
(Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu':4, M/S:302)
Sabda Baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan
istiqamah di dalam surah Hud.
Beliau menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk
istiqamah.
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mendengar Ibnu Taimiyah
menyatakan:
“Sehebat-hebat Karomah ialah melazimi (sesuatu perkara
dengan) istiqomah.”
(Madarij As-Salikin, Ibnu Al Jauzi, Juzu':2, M/S:106)
Justru itu, jika seseorang mampu berjalan di atas air
atau mampu terbang di udara, itu bukan-lah bukti bahawa Allah memuliakannya
dengan Karomah.
Melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran
yang berupa segala perintah mau-pun larangan Allah kerana istiqomah, adalah
satu-satunya syarat untuk mendapatkan Karomah.
Dalam hadist yang diriwayatkan Imam Muslim, Sufyan bin
Abdillah radiyallahu 'anhu pernah bertanya kepada Rasulallah shalallahu 'alaihi
wasallam:
“Wahai RasulAllah, beritahu aku dalam Islam ini satu
perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa lagi selepas ini”
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam menjawab:
“Katakan-lah “aku beriman kepada Allah”, kemudian kamu
beristiqamah-lah”
(Hadist Riwayat Imam Muslim No:58).
Perjalanan hidup Para Nabi dan Rasul adalah contoh
terbaik dalam menterjemahkan makna istiqomah.
Mereka sangat terkemuka di tengah-tengah masyarakat
manusia, bahkan di hadapan Allah Ta'ala.
Bukan kerana mereka beriman dan beramal shaleh
semata-mata, lebih dari itu Para Nabi dan Rasul ini adalah orang-orang pilihan
Allah yang memiliki “keteguhan” dalam Iman dan Amal Shaleh mereka.
Betapa istiqomah dan teguhnya prinsip dakwah Rasulallah
shalallahu 'alaihi wasallam ketika dibujuk oleh bapak saudaranya Abu Thalib
supaya berhenti berdakwah.
Baginda lalu berkata:
“Sekali-pun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan
matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini
tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha
ku ini”
(Hadith Riwayat Al-Baihaqi No:522)
Itu-lah keteguhan yang yang bernyala-nyala, yang ada
dalam diri Rasulallah, sehingga Baginda berhasil merealisasikan impiannya untuk
meng-Islamkan manusia.
Istiqamah tidak mengenal jemu, payah, ugutan dan bujukan
dalam perjuangannya.
Lihat-lah bagaimana Rasulallah shalallahu 'alaihi
wasallam memulakan perjuangannya di Makkah tetapi terhalang.
Tidak putus asa, Baginda bergerak mencari sinar di
Ta'if, masih ditolak.
Kemudian hijrah sebilangan Sahabat-nya memohon “suaka
politik” di Habsyah.
Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di Kota Madinah
dan kembali semula “membuka” kota Makkah.
Baginda tidak mengenal undur, kerana hanya dengan
istiqomah Beliau mampu membawa kejayaan/kemenengan atas izin Allah.
Kejayaan Rasulallah terpaksa “mengorbankan” deretan Para
Sahabat yang sangat disayanginya.
Bermula dengan syahidnya Sumayyah, Yassir, Sayyidina
Hamzah, Saad bin Mu'az, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain.
Mereka juga golongan yang sangat istiqomah. Bahkan
sekian lama Baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan,
keselesaan dan kecintaannya demi sebuah kalimah “Laa illaha illallah”
Nabi Ibrahim 'alaihissallam dengan jiwanya yang sangat
istiqomah itu telah berkali-kali diuji oleh Allah.
Nabi Ibrahim berputus arang dengan bapaknya (Azar)
kerana Allah demi menzahirkan prinsip keimanannya.
Beliau juga tetap teguh ketika dicampakkan ke dalam api
besar yang membara oleh Raja Namrud kerana kejituan imannya terhadapa Allah.
Baginda juga dengan tulus ikhlas sanggup mengorbankan
puteranya Nabi Ismail.
Sebagai orang tua, Nabi Ibrahim sangat sayang dan cinta
kepada puteranya.
Tetapi walau bagaimana Cinta sekali-pun kepada anaknya,
Baginda terus menggengam dengan penuh keteguhan bahawa keCintaan nya kepada
Allah Ta'ala tetap lebih utama diatas segalanya.
Ini-lah istiqomah.
Dengan terbuktinya keteguhan, Allah mengambil Ibrahim
sebagai hamba kesayangan-Nya sehingga digelar khalilullah sebagaimana firman
Allah Ta'ala yang berbunyi:
“Siapa-kah yang lebih baik Agamanya daripada orang yang
menyerahkan dirinya kepada Allah, ia berbuat kebaikan dan mengikuti Agama
Ibrahim yang lurus (benar). Dan Allah telah menjadikan Ibrahim (Nabi)
kesayang-Nya”.
(QS. An-Nisa' :125)
Begitu hebatnya dan besarnya pengertian istiqomah.
Itu-lah jalan Para Nabi dan Para Sahabat sepanjang
zaman.
Para pengikut Nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini.
Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqomah, maka
tidak-lah heran mengapa Allah Ta'ala menjanjikan balasan yang besar kepada
mereka yang beristiqomah.
Allah Ta'ala menjanjikan kebahagiaan kepada golongan
orang-orang yang berpegang teguh dan istiqomah dalam perjuangan dan kebenaran.
Kebahagiaan itu adalah Syurga-Nya, di mana di sana tiada
lagi hati-hati yang merasa kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, mereka kekal
Abadi di dalamnya.
Kenyataan ini tergambar dalam firman Allah yang
beerbunyi:
“Mereka-lah ahli syurga, tetap kekal-lah mereka di
dalamnya sebagai balasan bagi amal-amal shaleh yang mereka telah kerjakan”.
(QS. Al-Ahqaf :14)
Sebaliknya orang yang goyah pendiriannya seperti lalang
ditiup angin, tidak konsisten dan tidak teguh prinsipnya dalam aqidah, Iman,
Islam dan termasuk beramal shaleh, tidak disebut menjadi penghuni syurga,
apa-lagi kekal di dalamnya.
Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa istiqomah
(teguh pendirian dan amalan) mesti kita miliki, kerana dengan istiqamah manusia
akan menjadi mulia di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Barang-siapa yang memilikinya pasti dijanjikan balasan
Syurga-Nya, tiada ketakutan dan duka-cita.
Para Malaikat akan turun kepada mereka ketika hampirnya
ajal untuk menenangkan dan meneguhkan jiwa golongan ini.
Dalam dunia yang dipenuhi kefana'an ini, untuk istiqamah
bukan-lah perkara mudah tapi sewajibnya melalui tarbiah jiwa yang sarat dengan
mujahadah dan tazkiah (penyucian).
Waallahu A'lam Bishshawab..
Akhirulu kalam..
“Nun wal kolami wa mayasturun, Wassalamu'alaikum warohmatullahi wabarokatuh”