Laman

Minggu, 06 Mei 2012

Istiqomah




Allah Subhanahu WA TA'ala berfirman yang artinya berbunyi:

          “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid-nya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
(QS. Al-Ahqaf :13) 

            Ayat ini menerangkan keadaan golongan orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah Ta'ala, yaitu orang-orang yang mengakui dan mengatakan:
“Tuhan kami adalah Allah”
Kemudian mereka istiqomah.

            Di dalam kitab Ahkam Al-Qur'an, Ibnu Al-Arabi menyatakan bahawa istiqomah adalah sentiasa dan berterusan berdiri di atas prinsip kalimah - “La ilaha illallah” - sehinggalah mati masih di atas kalimah itu, tidak sekali-kali berubah dan bertukar serta tetap teguh dalam melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan”
(Ahkam Al-Qur'an, Ibnu Al Arabi, Juzu':7, M/S:69).

            Pengakuan dan pendirian mereka tidak dicampuri sedikitpun dengan perbuatan-perbuatan  syirik. Mereka menetapi dan mengikuti garis-garis yang telah ditentukan Agama, mengikuti perintah-perintah Allah dengan sebenar-benarnya dan menghentikan larangan-larangan-Nya. Maka golongan ini tidak ada suatu ketakutan-pun terhadap nasib mereka di hari Kiamat nanti kerana Allah menjamin keselamatan mereka.
Mereka tidak ada rasa bersedih hati terhadap apa yang mereka tinggalkan di dunia setelah mereka mati kelak, begitu juga terhadap sesuatu yang luput dan hilang selama hidup di dunia itu serta tidak ada penyesalan sedikit-pun pada diri mereka.

Apa Arti Pengakuan “Tuhan Kami ialah Allah”..??

              Dr. Hamka telah menafsirkan bahawa orang-orang yang telah mengatakan:
“Tuhan kami ialah Allah” ialah bererti yang berkata itu adalah mulutnya, hatinya, seluruh gerak gerinya juga ‘sepak terajangnya’.
Walau-pun mungkin lidahnya tidak terbuka namun sikap hidupnya telah menyatakan kalimah tersebut.

             “Tuhan kami ialah Allah” terbukti dalam ibadahnya, tujuan hidupnya, pandangan hidupnya, tempat dia menaruh harapan, tempat dia merasa takut dan dalam ia menjelaskan tujuan hidupnya. “Tuhan kami ialah Allah” bererti tidak ada tempat tunduk yang lain dan tidak ada rasa takut menghadapi yang lain.
Dengan pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”, maka segala kegiatan segala aktiviti, segala jalan fikiran, segala pertimbangan tertuju kepada Allah dan memandangnya dari segi keredhaan Allah. “Tuhan kami ialah Allah”, maka yang berlaku ialah hukum-Nya Yang Maha Kuasa Sejati. “Tuhan kami ialah Allah” bermakna tidak ada undang-undang yang tahan uji melainkan undang-undang syariat-Nya dan tidak ada pimpinan melainkan pimpinan-Nya, tidak ada petunjuk melainkan petunjuk-Nya.

              “Tuhan kami ialah Allah”! Maka segala yang ada dan segala apa jua pun yang berhubung dan bersangkut paut dengan yang ada, semuanya bergantung kepada-Nya.
“Tuhan kami ialah Allah”!, Terbukti dapat dilihat, dapat dirasakan dalam segala gerak walau-pun mulut tidak berkata-kata, walau-pun kaki dan tangan terbelenggu.
(Tafsir Al-Azhar, Hamka, Juzu':26, M/S:20-21) Kemudian mereka teguh pada pendiriannya tidak beranjak, tidak ragu-ragu dan tidak berpaling lagi.
Itu-lah istiqomah!

ISTIQOMAH

“Apakah istiqomah itu.?”
Para Ulama Al-Amilin dalam mendefinasikan istiqamah ini ada berbagai-bagai pengertian namun ia tetap menjurus kepada petunjuk yang satu. Di dalam kitab Madarij As-Salikin, Ibnu Al Jauzi telah menukilkan pendapat-pendapat mereka sebagaimana berikut: Sayyidina Abu Bakar radiyallahu 'anhu, ketika ditanya tentang istiqomah beliau mengatakan:
“Jangan-lah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun”.

Sayyidina Umar bin Khattab berkata:
“Istiqomah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang”.

Sayyidina Uthman radiyallahu 'anhu pula mengatakan Istiqomah ialah:
“Ikhlas beramal kerana Allah semata-mata".

Sayyidina Ali radiyallahu 'anhhu dan Ibnu Abbas radiyallahu 'anhu berkata Istiqomah ialah:
“Berterusan dalam menunaikan kewajipan yang difardhukan”.

Hasan Al-Basri berkata istiqomah ialah:
“Berpegang teguh-lah kepada perintah Allah, lakukan dengan ketaatan kepada-Nya dan jauhi-lah maksiat dan ke durhakaan kepada-Nya”.

Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa istiqomah itu ialah:
“MenCintai Allah dan mengabdi kepada-Nya tanpa berpaling kiri dan kanan.”
(Madarij As-Salikin, Ibnu Jauzi, Juzu':2 M/S:104)


Memburu Kejayaan dan Kebahagiaan Abadi Dengan Istiqomah”.

Istiqomah adalah antara sifat unggul Islam yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.
Walau amat sukar dalam hidup ini untuk istiqamah atas kebenaran, berdiri teguh sepanjang masa, berada di atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan namun ia adalah asas untuk hidup berAgama dan jalan keselamatan kerana ia (istiqomah) merupakan sebesar-besar Karomah (kemuliaan) di dunia dalam menuju Karomah yang Abadi yaitu Syurga.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Surah Hud menyebabkan rambut-ku beruban”
(Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu':4, M/S:302)

Sabda Baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan istiqamah di dalam surah Hud.
Beliau menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk istiqamah.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mendengar Ibnu Taimiyah menyatakan:
“Sehebat-hebat Karomah ialah melazimi (sesuatu perkara dengan) istiqomah.”
(Madarij As-Salikin, Ibnu Al Jauzi, Juzu':2, M/S:106)

Justru itu, jika seseorang mampu berjalan di atas air atau mampu terbang di udara, itu bukan-lah bukti bahawa Allah memuliakannya dengan Karomah.
Melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran yang berupa segala perintah mau-pun larangan Allah kerana istiqomah, adalah satu-satunya syarat untuk mendapatkan Karomah.

Dalam hadist yang diriwayatkan Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah radiyallahu 'anhu pernah bertanya kepada Rasulallah shalallahu 'alaihi wasallam:
“Wahai RasulAllah, beritahu aku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa lagi selepas ini”

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam menjawab:
“Katakan-lah “aku beriman kepada Allah”, kemudian kamu beristiqamah-lah”
(Hadist Riwayat Imam Muslim No:58).

Perjalanan hidup Para Nabi dan Rasul adalah contoh terbaik dalam menterjemahkan makna istiqomah.
Mereka sangat terkemuka di tengah-tengah masyarakat manusia, bahkan di hadapan Allah Ta'ala.
Bukan kerana mereka beriman dan beramal shaleh semata-mata, lebih dari itu Para Nabi dan Rasul ini adalah orang-orang pilihan Allah yang memiliki “keteguhan” dalam Iman dan Amal Shaleh mereka.

Betapa istiqomah dan teguhnya prinsip dakwah Rasulallah shalallahu 'alaihi wasallam ketika dibujuk oleh bapak saudaranya Abu Thalib supaya berhenti berdakwah.
Baginda lalu berkata:
“Sekali-pun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha ku ini”
(Hadith Riwayat Al-Baihaqi No:522)

Itu-lah keteguhan yang yang bernyala-nyala, yang ada dalam diri Rasulallah, sehingga Baginda berhasil merealisasikan impiannya untuk meng-Islamkan manusia.
Istiqamah tidak mengenal jemu, payah, ugutan dan bujukan dalam perjuangannya.

Lihat-lah bagaimana Rasulallah shalallahu 'alaihi wasallam memulakan perjuangannya di Makkah tetapi terhalang.
Tidak putus asa, Baginda bergerak mencari sinar di Ta'if, masih ditolak.
Kemudian hijrah sebilangan Sahabat-nya memohon “suaka politik” di Habsyah.
Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di Kota Madinah dan kembali semula “membuka” kota Makkah.
Baginda tidak mengenal undur, kerana hanya dengan istiqomah Beliau mampu membawa kejayaan/kemenengan atas izin Allah.

Kejayaan Rasulallah terpaksa “mengorbankan” deretan Para Sahabat yang sangat disayanginya.
Bermula dengan syahidnya Sumayyah, Yassir, Sayyidina Hamzah, Saad bin Mu'az, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain.
Mereka juga golongan yang sangat istiqomah. Bahkan sekian lama Baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan, keselesaan dan kecintaannya demi sebuah kalimah “Laa illaha illallah”

Nabi Ibrahim 'alaihissallam dengan jiwanya yang sangat istiqomah itu telah berkali-kali diuji oleh Allah.
Nabi Ibrahim berputus arang dengan bapaknya (Azar) kerana Allah demi menzahirkan prinsip keimanannya.
Beliau juga tetap teguh ketika dicampakkan ke dalam api besar yang membara oleh Raja Namrud kerana kejituan imannya terhadapa Allah.
Baginda juga dengan tulus ikhlas sanggup mengorbankan puteranya Nabi Ismail.
Sebagai orang tua, Nabi Ibrahim sangat sayang dan cinta kepada puteranya.
Tetapi walau bagaimana Cinta sekali-pun kepada anaknya, Baginda terus menggengam dengan penuh keteguhan bahawa keCintaan nya kepada Allah Ta'ala tetap lebih utama diatas segalanya.

Ini-lah istiqomah.
Dengan terbuktinya keteguhan, Allah mengambil Ibrahim sebagai hamba kesayangan-Nya sehingga digelar khalilullah sebagaimana firman Allah Ta'ala yang berbunyi:
“Siapa-kah yang lebih baik Agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, ia berbuat kebaikan dan mengikuti Agama Ibrahim yang lurus (benar). Dan Allah telah menjadikan Ibrahim (Nabi) kesayang-Nya”.
(QS. An-Nisa' :125)

Begitu hebatnya dan besarnya pengertian istiqomah.
Itu-lah jalan Para Nabi dan Para Sahabat sepanjang zaman.
Para pengikut Nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini.
Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqomah, maka tidak-lah heran mengapa Allah Ta'ala menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqomah.
Allah Ta'ala menjanjikan kebahagiaan kepada golongan orang-orang yang berpegang teguh dan istiqomah dalam perjuangan dan kebenaran.
Kebahagiaan itu adalah Syurga-Nya, di mana di sana tiada lagi hati-hati yang merasa kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, mereka kekal Abadi di dalamnya.

Kenyataan ini tergambar dalam firman Allah yang beerbunyi:
“Mereka-lah ahli syurga, tetap kekal-lah mereka di dalamnya sebagai balasan bagi amal-amal shaleh yang mereka telah kerjakan”.
(QS. Al-Ahqaf :14)

Sebaliknya orang yang goyah pendiriannya seperti lalang ditiup angin, tidak konsisten dan tidak teguh prinsipnya dalam aqidah, Iman, Islam dan termasuk beramal shaleh, tidak disebut menjadi penghuni syurga, apa-lagi kekal di dalamnya.
Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa istiqomah (teguh pendirian dan amalan) mesti kita miliki, kerana dengan istiqamah manusia akan menjadi mulia di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Barang-siapa yang memilikinya pasti dijanjikan balasan Syurga-Nya, tiada ketakutan dan duka-cita.
Para Malaikat akan turun kepada mereka ketika hampirnya ajal untuk menenangkan dan meneguhkan jiwa golongan ini.
Dalam dunia yang dipenuhi kefana'an ini, untuk istiqamah bukan-lah perkara mudah tapi sewajibnya melalui tarbiah jiwa yang sarat dengan mujahadah dan tazkiah (penyucian).

Waallahu A'lam Bishshawab..


Akhirulu kalam..
“Nun wal kolami wa mayasturun, Wassalamu'alaikum warohmatullahi wabarokatuh”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar